7 Perkara Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Bayi G6PD. Apa Pantangnya?

Pernahkah anda dengar G6PD? Penyakit ini sering menjadi bualan ibu bapa kerana sejurus selepas bayi dilahirkan, hospital akan menjalankan ujian saringan untuk mengesannya. Jika bayi disahkan mengalami kekurangan G6PD, maka beberapa langkah penjagaan perlu diambil kira terutamanya pada diet seharian anak serta pengambilan ubat.

Berikut merupakan beberapa fakta penyakit G6PD yang perlu anda tahu.

1. APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KEKURANGAN G6PD?

G6PD sebenarnya ialah nama singkatan bagi enzim ‘glucose-6-phosphate-dehydrogenase’. Enzim ini sangat penting bagi fungsi tubuh manusia terutamanya dari segi pembuatan sel darah merah baru dan penghasilan tenaga daripada karbohidrat. Enzim yang terkandung dalam darah ini juga penting untuk melindungi dan melawan jangkitan daripada menyerang sel darah merah.

Disebabkan kekurangan enzim G6PD ini pada genetik, ia dapat membuatkan badan seseorang tidak dapat menghasilkan sel darah merah secara normal. Walaupun kedengaran serius, namun ia sebenarnya merupakan masalah kekurangan enzim yang paling biasa berlaku pada manusia. Menurut BabyCenter, kira-kira 1 dalam 10 kanak-kanak mengalami kekurangan G6PD di Malaysia.

2. PUNCA KEKURANGAN G6PD

Jika anda atau pasangan merupakan pesakit G6PD atau mempunyai sejarah penyakit G6PD dalam keluarga, maka anak anda juga mungkin menghidap G6PD.

Penyakit G6PD adalah penyakit keturunan yang sering dibawa oleh kromosom X daripada ibu atau bapa pembawa gen. Penyakit ini memang tidak dapat dikesan semasa ujian berkala kehamilan dan sukar dibendung sehingga ke hari ini kerana melibatkan aturan genetik yang sangat kompleks serta sentiasa diturunkan kepada waris.

3. SIMPTOM KEKURANGAN G6PD

Kanak-kanak tidak akan menunjukkan sebarang simptom G6PD melainkan apabila terdedah kepada pencetusnya. Jika ini berlaku, maka proses hemolisis (sel darah merah pecah) boleh menyebabkan pesakit kekurangan darah. Oleh sebab itu, bayi baru lahir yang disahkan G6PD perlu dipantau dalam wad kerana mereka berpotensi mendapat penyakit kuning (jaundis).

Antara simptom yang dialami akibat hemolisis ini termasuklah:

  • kelihatan pucat
  • tidak bermaya (atau keletihan yang teramat)
  • pening
  • degupan jantung yang laju
  • sukar bernafas
  • sakit dada
  • jaundis (kekuningan) – boleh dilihat pada mata putih atau kulit, warna air kencing seperti air teh O atau Coca-Cola.

Sekiranya anda mengesan simptom ini pada bayi, jangan lengah mendapatkan rawatan hospital dengan segera.

4. ADAKAH IA BOLEH DIRAWAT?

Buat masa ini, tiada rawatan spesifik untuk menghilangkan penyakit kekurangan G6PD daripada tubuh. Sungguhpun begitu, ibu bapa tidak perlu terlalu risau kerana anak yang kekurangan G6PD masih boleh menjalani kehidupan yang aktif, sihat dan normal selagi tidak didedahkan kepada pencetus hemolisis.

Dalam sesetengah kes, ada pesakit yang memerlukan rawatan yang lebih intensif seperti pemindahan darah bagi menggantikan sel darah merah serta oksigen yang berkurangan dalam badan. Apabila pencetus telah dikeluarkan atau dirawat, simptom-simptom yang dialami biasanya akan hilang sendiri dalam masa beberapa minggu.

5. PANTANG BAGI PESAKIT G6PD

Penyakit genetik ini memberi kesan yang berbeza-beza mengikut individu. Ada yang terkesan teruk apabila terlanggar pantang, ada yang tidak. Namun begitu, adalah lebih baik sekiranya ahli keluarga dapat membantu pesakit waspada dalam pengambilan makanan atau ubat-ubatan seharian.

6. BOLEHKAH PENYUSUAN BADAN DITERUSKAN?

Sudah tentu. Ibu-ibu digalakkan meneruskan penyusuan badan walaupun bayi anda disahkan kekurangan G6PD.

Walaubagaimanapun, ibu yang menyusu bayi kekurangan G6PD perlu mengelakkan bahan-bahan/ubat-ubat seperti di dalam rajah di atas agar tidak menjadi pencetus apabila termasuk di dalam susu ibu.

7. LANGKAH KESELAMATAN YANG PERLU DILAKUKAN OLEH IBU BAPA

Cara terbaik adalah dengan melindungi anak anda daripada pencetus yang boleh menyebabkan timbulnya simptom yang tidak diingini.

Selain itu, apa yang anda perlu lakukan adalah:

Peka terhadap makanan dan ubat yang mengandungi bahan pencetus / oksidatif.

Simpan senarai pencetus di rumah anda atau di tempat yang mudah diakses.

Buat beberapa salinan untuk diberi kepada orang lain seperti saudara terdekat, penjaga, pengasuh, atau guru apabila perlu.

Sentiasa periksa kandungan pada makanan, minuman dan ubat dengan menyemak labelnya.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada ibu bapa di luar sana !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *