INFLUENZA

Influenza atau flu sering disalahertikan sebagai selesema biasa, bahkan ramai yang masih keliru antara kedua-duanya. Hakikatnya flu adalah jauh lebih buruk dan berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa serta boleh menyebabkan kematian.

Di negara Barat, influenza berkait dengan musim sejuk. Jumlah kes dan kematian akibat flu akan meningkat ketika musim sejuk sebaliknya di Malaysia, sebagai negara tropika, ia adalah penyakit tidak bermusim dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Kebiasaannya, jenis influenza H1N1 dan H3N2 menjangkiti manusia dan dikenali sebagai influenza bermusim.

Influenza terbahagi kepada banyak jenis dan dikategorikan sebagai influenza A, B dan C. Virus jenis A adalah penyebab utama flu terhadap manusia dan haiwan. Jenis B pula kurang biasa tetapi boleh menyebab­kan penyakit yang menyerupai jenis A manakala influenza jenis C pula mengakibatkan selesema sederhana dan jarang dijangkiti.

Tanda dan gejala influenza tidak sama dengan selesema biasa. Gejala flu biasanya lebih serius dan mungkin memerlukan pesakit berehat daripada tugas harian. Gejala influenza pada kebiasaannya muncul secara tiba-tiba. Pesakit biasanya menghidap demam yang tinggi, batuk, sakit kerongkong, berhingus, sakit otot dan badan, sakit kepala dan keletihan. Gejala ini juga boleh membawa kepada kemurungan.

Komplikasi yang disebabkan influenza antara lain termasuk pneumonia (jangkitan paru-paru), sinus dan telinga. Jangkitan ini juga boleh memburukkan penyakit kronik sedia ada seperti asma, kegagalan jantung atau kencing manis.

Komplikasi ini boleh membawa maut dan menyebabkan pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Apakah perbezaan antara influenza dan selesema biasa?

Selesema biasa lazimnya menyebabkan hidung berhingus, bersin dan hidung tersumbat. Ia adalah jangkitan virus pada saluran pernafasan atas yang lazimnya tidak berbahaya dan berlaku pada bila-bila masa sepanjang tahun.

Influenza juga mempunyai simptom yang sama dan menjejaskan saluran pernafasan atas, tetapi ia terjadi dengan cepat dan lebih teruk. Virus yang menyebabkan influenza berbeza daripada virus yang menyebabkan selesema, influenza juga berlaku mengikut musim

Bagaimanakah ia merebak?

Kanak-kanak yang dijangkiti boleh memindahkan virus influenza apabila batuk atau bersin, dan melalui hidung berhingus yang mengandungi titisan virus influenza. Orang lain boleh dijangkiti influenza apabila menyedut titisan terbabit atau titisan termasuk ke dalam hidung atau mulut mereka selepas tersentuh permukaan yang tercemar.

Gejala Influenza

  • Demam panas
  • Batuk
  • Sakit kepala
  • Muntah
  • Menggigil
  • Sakit tekak
  • Cirit-birit
  • Letih lesu

Langkah Pencegahan Bagi Mengelakkan Jangkitan Influenza

  • Sekiranya mengalami gejala demam dan batuk, segera dapatkan rawatan.
  • Elakkan berjumpa dengan rakan atau saudara mara atau ke tempat-tempat awam.
  • Pakai penutup hidung jika berada di tempat awam.
  • Tutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang telah digunakan.
  • Basuh tangan dengan air dan sabun selepas batuk atau bersin, selepas menyentuh hidung, mulut atau mata. Cecair hand sanitizer juga boleh digunakan.
  • Elak berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan lain-lain.
  • Pastikan pengudaraan dan pencahayaan yang baik dalam rumah dan tempat kerja.
  • Bersihkan lantai dan meja yang tercemar dengan cecair hidung dan mulut.

SEMOGA DENGAN PERKONGSIAN INI DAPAT MEMBANTU ANDA SEMUA!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *