Khasiat Manjakani Ramai Tidak Tahu. Benarkah Mengetatkan Faraj?

Pernah dengar tentang manjakani? Kalau tidak, kami ingin kongsikan tentang seribu khasiat manjakani yang biasaya dikaitkan dengan wanita

Manjakani terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu lebih-lebih lagi kaum wanita yang mengamalkan pemakanan jamu.

Manjakani sangat sinonim bagi wanita terutama bagi mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Ini kerana, khasiatnya sangat hebat untuk kesihatan wanita seperti membentuk tubuh yang ramping, mengetatkan vagina dan mengelakkan keputihan.

Ramai yang menganggap, manjakani adalah sejenis buah. Namun, tahukah anda, manjakani bukanlah sejenis buah. Manjakani atau dikenali juga dengan nama majuphal (dalam perubatan tradisi india), Mazu, Turkish gall di timur tengah dan pelbagai nama lain lagi biasanya diperoleh dari pokok Aleppo oak (Quercus infectoria). Namun, di Malaysia, manjakani biasanya dijumpai pada pokok Mempening.

Manjakani terhasil apabila sejenis serangga penyengat ‘gall wasp’ menyuntik larvanya ke batang lembut tumbuhan Quercus infectoria.

Tindak balas dari tumbuhan tersebut menghasilkan bengkakan seperti tumor yang mengandungi nutrisi dan juga memberikan perlindungan untuk pertumbuhan larva. Bengkakan (gall) yang telah kering dan mengeras itulah yang dinamakan manjakani.

Khasiat Manjakani Dalam Perubatan Tradisional

Manjakani digunakan dalam perubatan Cina sebagai ubat panas dan pahit yang dipanggil moshizi. Ia digunakan untuk masalah ulser dan buasir. Hal ini dinyatakan oleh Subhuti Dharmananda, PhD dalam karya bertajuk “Manjakani Dan Penggunaan Tannin dalam Perubatan Cina.”

Orang India Amerika juga menggunakan manjakani untuk luka dan lecur kulit seperti yang dinyatakan oleh Christopher Hobbs dalam “Panduan Bidang Tumbuhan dan Herba Barat.” Malah, manjakani juga turut dijadikan sebagai alternative rawatan dalam kes-kes cirit-birit, kolera dan gonorea.

Kegunaan Lain Bagi Manjakani

Walaupun seringkali kita dimaklumkan bahawa manjakani mempunyai kebaikan untuk kesihatan wanita, tetapi hakikatnya, manjakani juga turut mempunyai kegunaan yang lain.

Manjakani turut digunakan sebagai pemekat pada stews atau dicampur dengan bijirin untuk membuat roti. Manakala di India, manjakani telah digunakan sebagai serbuk gigi serta digunakan dalam rawatan gigi dan gingivitis.

Malah kini, ekstrak manjakani telah digunakan secara meluas dalam
dalam farmaseutikal, makanan dan makanan tambahan, pewarna dan dakwat.

Biji manjakani sangat kaya dengan tannin. Tannin merupakan sejenis sebatian polifenol yang berasal dari tumbuhan, berasa pahit dan kelat, yang bertindak balas dengan menggumpalkan protein, atau berbagai sebatian organik lainnya termasuk asid amino dan alkaloid.  Bahan kimia ini sering digunakan dalam proses menyamak kulit agar awet dan mudah digunakan. Tanin juga digunakan untuk menyamak (mengubar) jala, tali, dan layar agar lebih tahan terhadap air laut.

Di Alam Melayu, manjakani sering digunakan bersama dengan herba lain sebagai ubat minum oleh wanita selepas melahirkan anak untuk mengembalikan keanjalan dinding rahim, dan dalam banyak produk pengetatan vagina.

Di samping itu, orang Arab, Persia, India, Melayu dan Cina secara tradisinya turut menggunakan manjakani selepas bersalin untuk merawat cirit-birit, masalah faraj dan jangkitan selepas bersalin.

Khasiat Manjakani Untuk Kesihatan Wanita

Di Malaysia, kita dapati manjakani sering dijadikan bahan aktif untuk produk berkaitan kesihatan wanita seperti mengetatkan vagina dan mengelakkan masalah keputihan.

Malah, ada juga amalan yang meletakkan manjakani pada alat sulit untuk tujuan mengetatkan faraj. Adakah perkara ini memang berkesan? Atau sekadar promosi para penjual?

1) Manjakani Mengelakkan Masalah Keputihan

Manjakani dipercayai mempunyai aktiviti antibakteria dan aktiviti fungistatik terhadap yis candida yang banyak menyebabkan jangkitan dan masalah keputihan.

Kandungan asid gallic berfungsi merencat aktiviti enzim carbonic anhydrase. Hal ini yang membuatkan tisu bahagian sulit menjadi kering. Jadi tiadalah lelehan keputihan.

Hakikatnya, lelehan faraj (vaginal discharge) adalah normal pada wanita. Ia terdiri dari lendiran mukosa, sel dan bakteria baik yang melembapkan kawasan faraj dan melindunginya dari jangkitan.

Lendiran ini berubah konsistensi dari cair ke likat (ketika ovulasi) bergantung pada hormon dan kitar haid seseorang wanita. Hanya apabila warnanya berubah dan berbau, ia memberi petanda anda dijangkiti fungus ataupun bakteria.

Kawasan faraj juga dilindungi oleh bakteria baik yang biasa hidup dalam pH normal di kawasan tersebut. Apabila kita memasukkan sesuatu yang asing dan tidak ‘hygenic’ ke dalam faraj, ia akan mengganggu persekitaran normal faraj. Perkara ini akan berisiko menyebabkan jangkitan.

2) Manjakani Mengetatkan Vagina

Kandungan tannin dalam manjakani yang tinggi (50 – 70%) sebenarnya bersifat astringent. Tannin adalah biomolekul polyphenolic yang mampu menyebabkan tisu otot mengecut. Seperti keadaan memakan buah-buahan yang belum masak dan masam, kita akan rasa seolah-olah tidak selesa pada bahagian mulut. Ini kerana otot mulut mengecut.

Begitu juga keadaannya pada vagina. Tannin di dalam manjakani akan menyebabkan otot pada vagina mengecut dan membuatkan para wanita terasa vagina mereka semakin ketat kerana mengamalkan manjakani.

3) Membantu hubungan seksual

Buah manjakani berfungsi sebagai ubat herba yang dapat membantu kekentalan organ intim wanita. Khasiat buah manjakani bukan saja dapat dirasakan oleh kaum hawa, tetapi secara tidak langsung ia juga membantu kepuasan sang suami ketika melakukan hubungan seks.

Kesimpulan

Manjakani memang membantu mengeringkan kawasan vagina untuk mengelakkan keputihan. Namun, memasukkan manjakani ke dalam alat sulit adalah sesuatu amalan yang tidak elok.

Ini kerana, manjakani yang kerap mungkin akan menyebabkan faraj mengalami kekeringan dan merosakkan lapisan mukosa yang melindungi faraj. Ini pasti akan menyebabkan iritasi dan memudahkan pelbagai jangkitan.

Manakala, cara paling ideal untuk mengetatkan otot vagina adalah dengan cara senaman kegel atau kemutan. Amalkan senaman ini akan membantu otot vagina kuat untuk dikemut. Manjakani hanya sebagai makanan tambahan untuk mengecilkan otot faraj. Namun, kesannya tidak berpanjangan.

Khasiat manjakani untuk kesihatan wanita memang berkesan. Namun sekiranya diamalkan secara berlebih-lebihan, bimbang akan memberi kesan sampingan kepada kesihatan wanita itu sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *