Rasa seronok bila dengar kawan kita dapat baby. Tetapi sebelum anda melawat ibu berpantang dan bayi baru lahir, ketahui apa tips melawat bayi baru lahir.
“Jom pegi tengok Aisyah baru bersalin. Tak sabar nak tengok baby dia,” ajak Nina kepada teman-teman ofis.
Sekarang banyak sangat kes yang kita baca tentang keadaan bayi baru lahir yang mudah dijangkiti kuman sehingga ada yang hampir maut.
Apabila diperiksa dan disiasat, doktor mendapati bayi tersebut dijangkiti kuman daripada orang yang melawatnya dalam keadaan tidak sihat.
Jadi, kalau ada yang rancang hendak melawat bayi baru lahir, pastikan tips tersebut anda patuhi. Takkan pula kawan anda yang baru bersalin hendak menegur, nanti dikata biadap dan tidak sopan pula.
MELAWAT BAYI BARU LAHIR: 12 TIPS ANDA PERLU TAHU
1. Beritahu awal sebelum melawat
Anda perlu tahu ketika melawat bayi baru lahir, ia tak sama seperti anda melawat ibu yang sedang atau masih mengandung.
Ini kerana, ibu dalam berpantang mereka perlu berehat dan menjaga bayi mereka. Jadi, sebelum datang melawat, sebaiknya anda memberitahu terlebih awal. Dari situ, ibu tersebut akan lebih bersedia.
2. Tepat pada masa
Tips kedua untuk melawat bayi baru lahir ini adalah tepati masa. Ibu dalam pantang memerlukan tidur dan rehat yang cukup.
Jadi untuk anda yang ingin melawat sebaiknya datang tepat pada masa yang dijanjikan. Jangan terlalu awal atau terlalu lambat.
3. Jangan duduk terlalu lama
Apabila melawat, jangan duduk bersembang dan berborak dengan ibu tersebut terlalu lama kerana ini menyebabkan ibu berasa letih.
Tapi kalau ibu tersebut meminta anda duduk dengan lebih lama, itu tak mengapa.
4. Bawa hadiah
Ketika datang melawat, bawalah bersama pakej baju bayi atau hadiah sebagai cenderahati dan ucapkan tahniah di atas kelahiran bayinya itu.
Malah, ibu tersebut rasa lebih seronok dengan penghargaan daripada anda itu.
5. Cuci tangan dengan bersih
Ketika melawat bayi baru lahir, seharusnya anda peka untuk cuci tangan terlebih dahulu sehingga bersih.
Ini kerana, bayi baru lahir sistem imun badannya belum sempurna jadi kulit mereka senang dijangkiti penyakit yang datang dari pelawat.
6. Minta izin untuk pegang baby
Sebelum anda ingin pegang baby tersebut, sebaiknya bertanyakan dulu pada ibunya. Kemudian, lihat pada bahasa tubuh, sekiranya macam ‘tak suka’ anda pegang, lebih baik jangan. Ok?
7. Jangan cium bayi tanpa izin!
Ini yang paling kami ingin tekankan. Bila melawat bayi baru lahir, jangan cium kulit pipinya lagi. Ini kerana sistem imun badannya masih di peringkat awal.
Seperti yang diberitakan sekarang, banyak sangat kes di mana bayi meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang terjadi akibat bayi dicium.
8. Tawarkan bantuan
Jika anda merupakan kenalan terdekat ibu tersebut, tidak salah jika anda menawarkan bantuan dan ibu itu pun tak ragu-ragu untuk menerima bantuan daripada anda.
Bantuan kecil seperti mandikan bayi, memakai pakaian atau berikan susu (jika susu di pam ke botol) pun sudah cukup memadai.
9. Jangan jadi HERO
Situasi seperti sekiranya anda mendukung bayi, tiba-tiba si kecil itu menangis. Segera pulangkan pada ibunya. Jangan jadi hero untuk mencuba diamkan bayi dari menangis. Biar ibunya yang buat.
10. Cakap ‘no’ jika ibu tanyakan adakah anda inginkan sesuatu
Apabila ada tetamu datang ke rumah sudah tentu kita hidangkan makanan atau minuman. Tapi anda perlu faham, si ibu masih dalam berpantang dan tak larat untuk sediakan makanan untuk anda.
Jadi jika dia bertanyakan sama ada anda ingin sesuatu cakap sahaja ‘NO’ atau tak perlu. Anda boleh saja makan dan minum di luar nanti selepas melawat.
11. Jangan biarkan anak anda yang tak sihat dekat dengan baby
Jika anda membawa sekali anak yang tak sihat seperti demam atau batuk-batuk, minta dia jauh daripada bayi yang baru lahir itu.
Bimbang sekiranya berjangkit. Ibu tersebut pun akan rasa lebih selesa.
12. Jangan beri nasihat jika tak diperlukan
Yalah, bila kita melawat orang. ada kalanya kita terlupa dengan bertanyakan banyak soalan. Ada kalanya mungkin ia menyinggung perasaan si ibu. Cukup sekadar bertanyakan khabar ibu dan bayi tersebut. Itu sudah memadai. Tapi kalau ibu meminta apa-apa nasihat, barulah anda boleh kongsi pandangan dengannya.